KENYATAAN DASAR
Dasar Pengguna Negara bertujuan menggalakkan keseimbangan hak dan tanggungjawab di kalangan dan di antara pengguna, pembekal/pengilang dan Kerajaan dalam melaksanakan peranan masing-masing, menggalakkan penggunaan lestari (sustainable consumption) di kalangan pengguna dan pembekal/pengilang ke arah memelihara kedaulatan Negara serta prinsip Agama untuk mencapai Wawasan Negara dalam menjamin kesejahteraan dan kebajikan pengguna dalam era globalisasi.Dasar Pengguna Negara memberi fokus terhadap usaha-usaha tiga pihak, iaitu melalui perlindungan kendiri (self-protection) di kalangan pembekal/pengilang dan penglibatan Kerajaan melalui peningkatan tahap perlindungan pengguna yang berkesan. Ini boleh dicapai dengan mewujudkan susasana yang harmoni untuk menggalakkan keseimbangan hak dan tanggungjawab di antara pengguna, pembekal/pengilang dan Kerajaan dengan memantapkan bidang perundangan, amalan perdagangan, pendidikan, kesihatan, kemudahan awam dan lain-lain bidang yang berkaitan.
RASIONAL DASAR PENGGUNA NEGARA
Dasar Pengguna Negara (DPN) diperlukan sebagai prinsip dan panduan dalam menggubal undang-undang berkaitan perlindungan pengguna. DPN juga wajar digunakan dalam penggubalan mana-mana dasar ekonomi atau sosial negara. Dasar ini adalah asas kepada segala kegiatan kepenggunaan oleh Agensi Kerajaan, Persatuan Pengguna, badan bukan Kerajaan yang lain dan sektor swasta supaya perkembangan kepenggunaan yang lestari (sustainable) dapat dipupuk di negara ini.
DPN diperlukan dalam menghadapi kesan globalisasi terhadap pengguna, pembekal/pengilang dan Kerajaan. Kepelbagaian barangan dan perkhidmatan serta kecanggihan teknologi kesan dari globalisasi mengubah aspek perundangan, ekonomi, strategi perdagangan dan sosial sesebuah negara.
DPN diperlukan bagi mewujudkan masyarakat pengguna yang mempunyai perlindungan kendiri iaitu bijak, bermaklumat, proaktif dah bertanggungjawab, mampu mempengaruhi aktiviti golongan pembekal/pengilang dan sensitif terhadap segala tingkahlakunya yang mempengaruhi keadaan ekonomi dan sosial negara.
DPN diperlukan bagi mewujudkan masyarakat pembekal/pengilang yang mempunyai kawalselia kendiri, iaitu bertanggungjawab terhadap kebajikan dan kesejahteraan pengguna.
DPN diperlukan bagi mencapai Wawasan Kerajaan dalam menggalakkan masyarakat pengguna dan pembekal/pengilang yang sentiasa prihatin dan berpengetahuan mengenai hak dan tanggungjawab masing-masing serta berganding bahu bagi mencapai kemakmuran negara seluruhnya.